Peralatan Penghasilan Grafik
Imej grafik merupakan suatu hasil konkrit. Penjelmaan imej grafik daripada suatu idea yang abstrak memerlukan peralatan tertentu. Kebolehan mengendalikan peralatan dengan cekap membolehkan maklumat yang ingin disampaikan dipaparkan dengan tepat dan jelas. Bagi grafik berkomputer, peralatan yang digunakan ialah perkakasan asas sistem komputer, tablet grafik, pengimbas imej, pencetak dan pemplot. Di samping itu, peralatan lain seperti kamera digital juga merupakan peralatan yang biasa digunakan untuk menghasilkan grafik. Penggunaan aplikasi berkomputer memungkinkan kesan dilihat daripada reka letak (layout) atau perubahan tipografi tanpa menggunakan pen dan dakwat berwarna-warni atau untuk mensimulasikan kesan daripada media tradisional tanpa perlu menuntut banyak ruang.