REFLEKSI TAJUK 4
Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Illahi, saya masih dapat meneruskan kuliah bagi kursus Teknologi Dalam Pendidikan untuk keempat kalinya. Bagi kuliah keempat ini, saya telah mempelajari topik perancangan, pemilihan, penghasilan dan penilaian media pengajaran. Topik ini mengandungi huraian Model ASSURE yang sesuai untuk mereka bentuk proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan media.
Bagi topik ini, saya dapat mengenal pasti kaedah perancangan, pemilihan dan penilaian media pengajaran. Terdapat banyak model reka bentuk pengajaran yang boleh menjadi panduan menghasilkan proses atau bahan pengajaran dan pembelajaran yang merangkumi perkara asas seperti menentukan keperluan pelajar, menentukan matlamat dan objektif, membina prosedur penilaian, mereka bentuk dan memilih strategi penyampaian, mencuba sistem pengajaran dan menilaian keseluruhan sistem.
Sepanjang kuliah keempat ini, saya dapat memahami elemen-elemen yang terdapat dalam reka bentuk pengajaran MODEL ASSURE. Model ASSURE merupakan model reka bentuk pengajaran yang biasa digunakan dalam proses pemilihan dan penghasilan media. Model ASSURE mengandungi 6 langkah iaitu guru perlu menganalisis pelajar, kemudian menyatakan objektif pengajaran, seterusnya, guru perlu memilih kaedah, media dan bahan, guru perlu menentukan kaedah yang sesuai, memilih format media dan memilih, mengubahsuai atau mereka bentuk media. Langkah seterusnya ialah guru perlu menggunakan bahan tersebut, bukan setakat itu sahaja, guru juga perlu menyediakan pengalaman pembelajaran kepada pelajar. Kemudian, langkah kelima ialah melibatkan pelajar dalam pengajaran, pembelajaran berlaku apabila terdapat perubahan tingkah laku pelajar, pengalaman rasa berjaya dapat kekalkan motivasi, kekalkan penglibatan pelajar melalui perbincangan, latih tubi, latihan bertulis, permainan bahasa, simulasi dan sebagainya. Langkah terakhir ialah guru perlu menilai dan menyemak semula hasil pengajaran kepada pelajar. Penilaian boleh dibuat secara formal dan secara informal kepada pelajar.
Alhamdulillah, setelah selesai memperlajari topik ini, sedikit sebanyak memberikan saya pengetahuan baru untuk melaksanakan satu proses pengajaran di kelas suatu hari nanti. Melalui penerangan yang telah diberikan oleh pensyarah saya sendiri, saya dapat memahami kepentingan Model ASSURE ini kepada seorang guru pelatih seperti saya ini. Dapatlah saya simpulkan di sini, pengajaran yang dirancang dengan teliti dan lengkap mewujudkan keyakinan, kepercayaan, dan perasaan hormat pelajar terhadap pengajar, sekaligus membina disiplin yang positif. Ini kerana pengajar dapat melaksanakan pengajaran dengan lancar dan menarik serta tidak membazir masa dan sistematik.